Wednesday, March 25, 2009

KEMBALIKAN KEGEMILANGAN ISLAM


The image “http://www.islamonline.net/Arabic/alhdth/2007/04/22/images/05.jpg” cannot be displayed, because it contains errors.
BOOOM! Bunyi letupan kuat memecah dinding-dinding ketenangan yang berdiri tegak di atas sejadah keimanan. 11 Zulhijjah menyaksikan sebuah letupan gergasi yang telah menggegarkan sebuah lagi rumah Allah, rumah ibadat yang menjadi kebanggaan insan-insan yang hidup di atas tanah yang dipanggil Sherpao, sebuah kampung kira-kira 25 batu di barat daya bandar raya Peshawar. Ketika hati-hati dalam rumah Allah itu sedang gembira dan khusyuk menjalankan solat berjemaah yang aku kira amat dianjurkan Islam, hari-hari sepatutnya dikorbankan haiwan-haiwan ternakan, menjadi hari terkorbannya 35 orang awan yang tidak berdosa, di mana belas kasihan, mungkin hilang bersama-sama letupan ganas itu?

"Menteri Kesihatan Wilayah Syed Kamal Shah berkata, 35 orang terbunuh dan kira-kira tiga dozen cedera dalam kejadian itu. Ketua Polis wilayah Sharif Virk berkata, seorang daripada anak lelaki Sherpao tercedera"


Ya Allah, hati-hati yang tidak berdosa dijadikan korban. Jangan berasa terkejut jika kita, umat Islam dikaitkan dengan ledakan bom, tidak pula dengan ledakan teknologi ataupun ledakan ilmu. Mungkinkah kita ini benar-benar begitu? Tidak! Firman Allah yang bermaksud:

Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi."...
(Surah Al-Baqarah ; 30)

Khalifah
, tugas besar yang menjadi tanggungjawab manusia untuk mentadbir dunia ini dengan berlandaskan agama. Namun, adakah ini yang diperjuangkan? Adakah Islam menganjurkan keganasan?penghijrahan Rasulullah SAW yang mempunyai signifikasi yang amat besar dalam perjuangan Islam. Konflik di antara suku Aus dan Khazraj ditamatkan dengan mempersaudarakan mereka dengan ikatan semangat Ukhuwwah Islamiyah. Sebelum itu, mereka saling bermusuhan. Peperangan sering tercetus sesama mereka. Di sini, konklusi yang dapat kita perhatikan ialah, Islam memperjuangkan keamanan sejagat, bukan keganasan seumat. Hari-hari dihitung, berapa ramai umat Islam yang mati di atas tangan teman seakidah, seagama dengan mereka. Kejadian di masjid di Sherpao harus kita jadikan sempadan.




Dunia hari ini mengaitkan kita dengan bom, keganasan, pembunuhan, ketidakadilan, macam-macam lagi yang boleh dikaitkan dengan unsur-unsur negatif. Masyarakat mula mendiskusikan aktiviti pengeboman yang dilakukan oleh segelintir persatuan dan pergerakan Islam, operasi pengeboman di tempat-tepat awam pada hari ini menjadi lubuk emas bagi mereka. Mayat-mayat yang dahulunya turut menyembah Allah yang sama, tumbang bergelimpangan, menjadi saksi akan kehilangan semangat yang dulunya pernah dilaung-laungkan dalam perjuangan umat Islam dahulu kala, tika kita disegani dan dihormati dunia. Ledakan bom bukanlah jalan penyelesaian bagi masalah yang kini menjadi barah dalam umat Islam masa kini, ledakan ilmu seharusnya dijadikan sebuah medium perpaduan, medium kebangkitan, medium kegemilangan yang bakal mengembalikan kegemilangan yang telah hilang tika sistem Khalifah jatuh digulingkan oleh umat Islamnya sendiri...


Ketika di bangku sekolah, frasa "matlamat menghalalkan cara" pernah aku lihat dalam buku teks sejarah tingkatan 5, yang pernah menjadi teras perjuangan bagi sesetengah pihak ketika dunia diambang kekecohan. Kini, pendekatan ini dicedok dan dijadikan tunjang ideologi mereka. Pendekatan ini kemudiannya dihalalkan menerusi rasional yang kononnya selaras dengan kepentingan masyarakat umum dan kerasionalannya di war-warkan secara meluas menerusi ideologi-ideologi sejagat.




Kewujudan ideologi sebegini menjadikan kita goyah dan lemah. Ikatan agama yang terbentuk, dirungkai ganas dengan ideologi-ideologi yang nyata menimpang dari ajaran Islam yang sebenar. Maka, berlakulah penyemarakan sentimen kekitaan berlainan ideologi dalam ummah masa kini yang akhirnya menjadikan pertunjukan pertumpahan darah antara umat Islam sebagai tontonan umum yang kini banyak menghiasi dada-dada akhbar. Seharusnya, bukan ledakan bom yang harus kita perbanyakkan, ledakan dalam ilmu Allah harus dijadikan budaya kita agar agama kita tidak dikenali sebagai agama keganasan, namun sebagai agama kejayaan, agama yang benar dan agama yang menggalakkan keamanan. Allah memerintahkan kita untuk menakutkan dan menggentarkan orang-orang kafir, kita seharusnya menggunakan saluran ilmu pengetahuan sebagai wadah perjuangan masa kini.

"Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menjadikan. Menjadikan manusia dari segumpal darah"
(al-Alaq ; 1-2)

Demikian ayat Al-Quran yang meletakkan Muhammad SAW sebagai Rasul utusan Allah Ar-Rahman. Ayat-ayat yang menyentuh tentang ilmu, "Bacalah" jelas memaparkan akan kepentingan ilmu, di mana pencarian ilmu menjadi ibadat yang dipandang mulia oleh Islam. Ini menunjukkan betapa Islam meletakkan martabat ilmu begitu tinggi sekali.




Demikian, walaupun sekarang kita dikaitkan dengan ledakan bom, namun adakah kita perlu berdiam diri? Ledakan ilmu dalam umat Islam perlu ditegakkan agar kita, umat Islam sejagat menjadi ummah yang disegani seperti dahulu. Takbir !!!

www.iLuvislam.com


No comments:

Post a Comment